Jadual Kandungan
Dasawarsa 1970-an
1970-an: Suasana di Kuantan
Hotel Tong Fong
Kiri: Gambar Hotel Tong Fong. Berdasarkan mutu gambar (hitam putih), kehadiran kereta Datsun 120Y (kiri) dan Datsun 1200 (kanan), juga papan tanda “Jalan Sa-hala” (Ejaan lama), kemungkinan gambar ini diambil sekitar tahun 1970-an (Sumber gambar: Old Forest Village, 11, Jalan Besar, Kuantan, 26 Ogos 2024).
Kanan: Gambar Hotel Tong Fong kini, berdasarkan catatan “No 93” dan “No 95” di dalam gambar tahun 1970-an (mungkin bermaksud No 93 dan No 95 Jalan Mahkota), serta butiran yang diberikan oleh Yaakub Isa: “Satu-satunya restoran yang menjual mee rebus yang sedap di Kuantan ialah Restoran dan Hotel Tong Fong. Hotel tersebut mempunyai bilik yang tidak sampai sepuluh buah dan bilik mandinya dikongsi. Sewanya sekitar $7.00 semalam. Walaupun kecil, tetapi hotel ini bersih di samping mee rebusnya itu tadi yang sedap. Bangunan hotel itu masih wujud hingga sekarang tetapi namanya telah berubah, iaitu bangunan pertama di deretan kedai sebelah kanan Jalan Wall (Jalan Mahkota sekarang) dekat kawasan stesyen teksi di hadapan Balai Polis Kuantan.”
Kisah selanjutnya:-
“Tidak berapa lama kemudian seorang pengusaha Melayu (orang Kampar) Haji Harun dan menantunya Yahya membuka sebuah restoran bernama Sumatera Restoran tidak jauh daripada jeti ke Tanjung Lumpur di Main Road (Jalan Besar sekarang). Keistimewaan restoran Pak Harun ini ialah mee rebusnya (yang berlainan resepi dan rasanya dengan yang di Tong Fong) dan tehbeng yang khas rasanya. Sejak itu orang-orang Melayu kuranglah yang pergi ke Tong Fong. Restoran ini kekal terkenal dengan ikon mee rebusnya itu, hinggalah tahun 1980-an dibukanya pula satu lagi cawangan di Jalan Tun Ismail. Dalam bulan Ramadan menunya ditambah satu lagi iaitu martabak. Tidak berapa lama kemudian bukan sahaja restoran cawangan itu ditutup tetapi restoran asalnya turut lenyap. Khabarnya ini berlaku selepas Pak Harun dan Pak Yahya meninggal, sedangkan anak-anaknya tidak berjaya meneruskan perniagaan yang sangat berkembang itu, di samping ada yang berpindah ke tempat lain.
Saya mengenali anak-anak Pak Harun dan Pak Yahya, tetapi sekarang tidak dapat menemui mereka lagi. Terakhir saya menemui Kalthum, kawan sekelas, yang berkahwin dengan orang Singapura dan menetap di negara pulau itu. Kalthum agak nakal juga kerana dia berani menyergah guru bahasa Inggeris kami (kelas tambahan percuma di sebelah petang di Sekolah Melayu Laki-laki Kuantan yang kami tidak tahu siapa penganjur dan siapa pula yang membayar gaji master-master kami itu) iaitu Mr. KOK SWEE HONG yang tertidur di kerusinya semasa mengajar! Bangunan kedai Pak Yahya yang bernama Bangunan Yahya Ariff di Kawasan Perindustrian Tanah Putih juga telah berpindah milik, sempat dijadikan showroom Syarikat National sebelum digunakan dalam keadaannya sekarang.”
(Sumber: Yaakub Isa, 17 Januari 2008: |"KUANTAN").