Jadual Kandungan

1940-1949: Era Jepun dan Selepasnya

1940-an: Pembukaan Padang Garuda

“…kemudahan perhubungan bandar Kuantan bukan sahaja dengan adanya rangkaian jalan raya dan pelabuhan, tetapi juga Lapangan Terbang di Batu 9, yang dibina dalam tahun 1940-an. Lapangan terbang yang kenali sebagai Padang Garuda ini telah melengkapkan pula perhubungan melalui udara.” (roshanilawatey, 29 Jun 2010: |"Sejarah Kuantan (4) : Sistem Perhubungan & Pengangkutan"). (Kemungkinan antara sumber asal: Alias Abdullah, Jabatan Perancang MPK dan Fauziah binti Zakaria, |"Pahang Dalam Sejarah, Bil.4, Tahun 1989", m.s.1: Sejarah Pembukaan Kuantan (1850-1970)).

1941-12-30: Kuantan Ditakluk Jepun

“Pada 8 hari bulan Disember 1941 kerajaan Jepun telah mengisytiharkan perang melawan kerajaan British dan Amerika Syarikat. Pada hari itu juga tentera Jepun telah mendarat di bahagian utara Semenanjung Tanah Melayu (dekat Kota Baharu Kelantan dan Patani) dan menyerang tentera British dan sekutunya di tanah besar Semenanjung Tanah Melayu. Dua hari kemudian, pada 10 hari bulan Disember 1941 dua buah kapal perang besar angkatan laut tentera British bernama Prince of Wales dan Repulse baharu datang ke Singapura untuk menambahkan kekuatan tentera laut British di sebelah timur, yang sedang dalam pelayarannya ke Laut Cina Selatan menuju ke utara hendak ke Teluk Siam, dan telah diserang oleh kapal terbang angkatan tentera udara Jepun di laut bersetentang dengan Kuantan (Pahang) hingga kedua buah kapal perang besar British yang dimegahkan itu tenggelam, dan sejak itu kekuatan tentera laut British di perairan sebelah timur telah lemah. Pada akhir tahun 1941 itu juga, satu pertempuran hebat telah berlaku di Kuantan (Pahang) di antara tentera Jepun dengan tentera British kerana merebut padang kapal terbang pihak tentera British yang ada di Kuantan. Tentera Jepun telah dapat menduduki Kuantan dan tentera British telah berundur, ada yang pulang ikut jalan raya pergi ke Kuala Lumpur, dan ada pula yang pergi ke Endau dan Mersing dan bertahan pula di situ. Sejak itu Pahang telah dikuasai oleh tentera Jepun.” (Haji Buyong bin Adil, 1972: |"Sejarah Pahang" (PDF), m.s. 416).

“Pada 30 Disember 1942(1941?), Kuantan telah jatuh ke tangan askar Jepun yang menyerang Asia Tenggara semasa Perang Dunia Kedua. Pusat bandar lama iaitu di sepanjang Jalan Mahkota dan Jalan Besar masih menempatkan binaan-binaan era sebelum Perang Dunia Kedua, sementara kubu kecil yang dibina dalam menghadapi ancaman Jepun boleh dilihat di beberapa lokasi di sekitar Kuantan.” (Wikipedia: Kuantan).

Peta Kuantan 1942-1944

Kuantan 1942
Kiri: Kuantan, tahun 1942 (HMSO, 1957 @ Antiqua Print Gallery: |"Kuantan 1942. Malaya. Malaysia - 1957 - Old map - Antique map - Vintage map - Printed maps of Malaysia").
Kanan: Kuantan, tahun 1944 (Survey of India Offices (P.Z.O.), 1944 @ Australian National University: |"Malaysia, Malaya, Kuantan, Series: HIND 1076, Sheet 3 D, 1944, 1:253 440").

Peta Pelabuhan Kuala Kuantan 1944
Peta Pelabuhan Kuala Kuantan 1944 (Great Britain. War Office. General Staff. Geographical Section, 1944 @ University of Wisconsin Milwaukee: |"Kuantan, port and town, Malaya / compiled and drawn by Inter-Service Topographical Department").

1945-08-14: Jepun Menyerah, Sultan Dalam Persembunyian

“Pada 6 hari bulan Ogos 1945 tentera udara Amerika Syarikat telah menggugurkan bom atom di bandar Hiroshima di negeri Jepun. Dua hari lepas itu, pada 9 hari bulan Ogos 1945 digugurkan pula bom di bandar Nagasaki, dan letupan kedua-dua bom atom itu telah membunuh dan mencederakan beratus-ratus ribu rakyat Jepun. Oleh sebab itu, pada 14 hari bulan Ogos 1945, Tenno Heika, Maharaja Jepun bagi pihak Kerajaan Jepun telah mengeluarkan surat pengakuan menyerah kalah kepada pihak Amerika Syarikat dan sekutunya, dan pengakuan ini telah diisytiharkan ke seluruh dunia pada 15 hari bulan Ogos 1945. … Pada 14 hari bulan Ogos 1945 itu juga, Sultan Abu Bakar Pahang telah dipersilakan oleh pegawai tinggi Jepun yang menjadi “Gabenor Pahang” datang ke Kuala Lipis untuk satu perjumpaan. Dalam perjumpaan yang telah diadakan di Kuala Lipis pada 15 hari bulan Ogos 1945 baginda telah mendengar ucapan “Gabenor Pahang” itu mengenai “Tindakan Tidak Bekerjasama” (non-co-operation) dan “Gabenor” itu telah menghadiahkan kepada baginda beberapa helai kain tetapi tidak sedikit pun pegawai Jepun itu membayangkan atau menceritakan mengenai kerajaan Jepun telah menyerah kalah itu. Pada 17 hari bulan Ogos 1945 Sultan Pahang bersama dengan Datuk Mahmud bin Mat telah berangkat dari Kuala Lipis hendak kembali ke Pekan. Di pertengahan jalan hampir dengan pekan Kuantan baginda telah berhenti kerana hendak mendengar siaran radio. Di situ, dengan tiba-tiba baginda telah “diculik” oleh sekumpulan beberapa orang askar Pasukan 136 yang lengkap bersenjata dan memakai pakaian seragam, seorang daripada ketua dalam kumpulan itu telah memberitahu baginda bahawa mereka menjalankan tindakan menurut perintah dari pihak berkuasa tentera British Asia Tenggara yang berpangkalan di Pulau Ceylon, kerana bimbangkan kalau baginda dibunuh atau dicederakan oleh askar Jepun di tempat terpencil di negeri Pahang itu. Baginda telah dibawa oleh askar Pasukan 136 itu ke tempat perkhemahan mereka yang terletak dalam hutan sejauh tiga batu dari jalan raya. Hampir tiga minggu lamanya baginda tinggal dalam hutan bersama lapan puluh orang Cina yang mencari perlindungan di negeri Pahang. Pada 8 hari bulan September 1945 baharulah baginda sampai di Pekan dan telah disambut oleh beribu-ribu orang Melayu rakyat baginda yang mengucapkan syukur di atas keselamatan baginda.” (Haji Buyong bin Adil, 1972: |"Sejarah Pahang" (PDF), m.s.420, 422).

Sultan Abu Bakar
Sultan Abu Bakar (Haji Buyong bin Adil, 1972: |"Sejarah Pahang" (PDF), m.s. 438).

Urutan peristiwa ini dengan lebih terperinci, menurut roshanilawatey, berdasarkan Buku “Peristiwa Almarhum Sultan Abu Bakar Di Ladang Ng Tiong Kiat Pada Tahun 1945” oleh Ungku Nazaruddin, Lembaga Muzium Negeri Pahang:-

“PERISTIWA DYMM SULTAN PAHANG DICULIK

Peristiwa ini berlaku pada pertengahan bulan Ogos tahun 1945…

Peristiwa sebenar tentang 'penculikan' DYMM Sultan Abu Bakar telah diceritakan oleh Tan Sri (Jeneral) Ungku Nazaruddin bin Ungku Muhammmad dalam suatu majlis pengkisahan pada malam 17 April 1992 bersempena dengan Seminar Sejarah Negeri Pahang. Ayahanda kepada Ungku Nazaruddin turut bersama dalam rombongan DYMM ke Kuala Lipis pada 17 Ogos 1945 sebagai jurubahasa dan juruiring kepada baginda Sultan. Yang turut mengikuti rombongan itu ialah Dato' Mahmud b. Mat (Pegawai Daerah Kuantan); Encik Abdullah b. Sihat (Pegawai Daerah Pekan); Encik Daud b. Ismail (Ketua Pelayan); Encik Abu Bakar b. Chik (Vallet); dan Encik Talib b. Muhammad (Pemandu).

Dalam keadaan yang tidak menentu pada pertengahan Ogos 1945, DYMM Sultan Abu Bakar telah berangkat dari istana baginda di Pekan ke Kuala Lipis yang pada masa itu merupakan pusat pentadbiran bagi negeri Pahang. Keberangkatan baginda bertujuan untuk membincangkan pentadbiran negeri Pahang yang pada masa itu dalam keadaan tidak menentu.

Dalam perjalanan pulang, baginda dikatakan hilang kerana diculik semasa berada di ladang Ng Tiong Kiat (kini dikenali juga dengan Pekan Sg Jerik, Jerantut). Lokasinya adalah di antara Jerantut dengan Kuantan. Menurut cerita yang tersebar luas, baginda diculik oleh MPAJA. Ekoran daripada peristiwa itu, pihak Jepun mengapi-apikan perasaan orang Melayu supaya bangkit menentang orang Cina dan MPAJA.

Baginda dan rombongan bertolak ke Kuala Lipis pada 16 Ogos 1945 sebagai memenuhi jemputan Gabenor Pemerintah Tentera Jepun bagi negeri Pahang Darul Makmur untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha yang jatuh pada 15 Sept 1945. Selain itu, Gabenor bagi negeri Pahang itu memberitahu bahawa beliau akan menamatkan khidmatnya di negeri Pahang dan seorang yang baru akan mengambil alih tempatnya. Digambarkan pertemuan itu diadakan “dalam suasana yang dingin serta penuh dengan syak wasangka”, kerana ketika itu sudah nampak tanda-tanda bahawa Jepun terpaksa menyerah diri setelah berlakunya pengguguran dua biji bom atom di Hiroshima dan Nagasaki.

Dalam perjalanan pulang, ketika sampai di ladang ubi Ng Tiong Kiat, kira-kira pukul 6.00 petang, mereka berhenti di situ untuk mengambil 2 ekor kambing gurun yang dipesan oleh Tuanku sendiri semasa dalam perjalanan dari Pekan ke Kuala Lipis. Di sinilah mereka 'diculik', iaitu diarah supaya tinggal di kem kumpulan gerila OSS 404 (Cairgorum II) yang dipimpin oleh Geaney bersama dengan gerila Force 136 kumpulan Pontoon di bawah pimpinan Mejar Leonard. Tuanku dan ahli rombongan cuma diberitahu bahawa penculikan ini terpaksa dilakukan demi menjaga keselamatan Tuanku sebagai pemerintah tertinggi negeri Pahang.

Dari ladang ubi Ng Tiong Kiat, Tuanku dan rombongan dibawa masuk ke kawasan pedalaman Hutan Simpan Jengka-Chenor, iaitu kem gerila British dan Amerika. (kini kawasan ini menjadi penempatan LKTP @ Felda Jengka).

DYMM serta rombongan berangkat balik meninggalkan tempat perladangan itu pada 12 September, iaitu setelah 27 hari berada di kawasan hutan simpanan itu dan setelah diberitahu bahawa Jepun telah menyerah diri. Tuanku diiringi oleh kumpulan Force 136 bersama dengan 10 anggota gerila wataniah yang berpakaian seragam lengkap dengan senjata.

Difahamkan bahawa markas SEAC di Colombo telah meminta Force 136 dan OSS 404 (Amerika) memberi perlindungan kepada DYMM dan rombongan kerana kuatir pada masa kekosongan kuasa dalam masa peralihan di antara penyerahan diri Jepun dan kedatangan Tentera Bersekutu, pihak MPAJA akan mengambil peluang untuk merampas kuasa dan menggunakan Tuanku sebagai tebusan.

Sesampainya Tuanku di Istana Seri Terentang, Bandar Diraja Pekan, baginda disambut seperti “orang mati hidup semula” kerana ada di antaranya yang menyangka bahawa DYMM telah mangkat dibunuh oleh MPAJA.”


“Foto (1) : DYMM Sultan Abu Bakar (2) Residency, iaitu tempat tinggal Gabenor Jepun di Kuala Lipis yang merupakan tempat pertemuan antara Gabenor dan Baginda Sultan.”

Sumber : Buku “Peristiwa Almarhum Sultan Abu Bakar Di Ladang Ng Tiong Kiat Pada Tahun 1945” oleh Ungku Nazaruddin, Lembaga Muzium Negeri Pahang.”

(Sumber: roshanilawatey, 16 Ogos 2015: |"Peristiwa di Ladang Ng Tiong Kiat @ Sungai Jerik").

Peta Negeri Pahang Tahun 1945

Peta Negeri Pahang Tahun 1945
Peta negeri Pahang tahun 1945 (Historic Pictoric: |"Map : Pahang, Malaysia 1945, Political divisions of Malaya, Pahang , Antique Vintage Reproduction").

1945-1952: Pembukaan Sekolah-Sekolah Melayu

“Antara tahun-tahun 1945 – 1947, Sekolah Kebangsaan yang didirikan ialah SK Galing (1948), SK Jabor (1950), SK Sungai Ular (1951) dan SK Cherating (1952).” (roshanilawatey, 30 Jun 2010: |"Sejarah Kuantan (5) : Kemudahan Pendidikan"). (Kemungkinan antara sumber asal: Alias Abdullah, Jabatan Perancang MPK dan Fauziah binti Zakaria, |"Pahang Dalam Sejarah, Bil.4, Tahun 1989", m.s.1: Sejarah Pembukaan Kuantan (1850-1970)).

1947: Pembukaan Jalan Kemaman-Beserah-Kuantan

“…perhubungan jalan raya daripada Beserah ke Kemaman pula dibina semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu dan telah dibuka dengan rasminya pada tahun 1947. Dengan wujudnya rangkaian jalan raya ini, dapatlah orang-orang dari Kemaman dan Terengganu masuk berniaga di Kuantan menggunakan jalan ini.” (roshanilawatey, 29 Jun 2010: |"Sejarah Kuantan (4) : Sistem Perhubungan & Pengangkutan"). (Kemungkinan antara sumber asal: Alias Abdullah, Jabatan Perancang MPK dan Fauziah binti Zakaria, |"Pahang Dalam Sejarah, Bil.4, Tahun 1989", m.s.1: Sejarah Pembukaan Kuantan (1850-1970)).

LATAR LOKASI: Beserah

Selain petikan dan sumber yang dinyatakan, rencana ini telah diusahakan oleh TMK Pulasan, di bawah kelolaan Syahrul Sazli Shaharir <sazli@pulasan.my>. Pengakuan penting: Kami bukan ahli sejarah! Sila klik di sini untuk penjelasan lanjut.