User Tools

Site Tools


1950-kini

1950-Kini: Merdeka Hingga Kini

Kuantan Tahun 1950-an

Jalan Mahkota, Kuantan tahun 1950-an
Jalan Mahkota, Kuantan, tahun 1950-an (关丹 Kuantan @ Facebook, 6 Mei 2019: "關丹舊照片").

Pendidikan Inggeris

“Lain-lain sekolah Inggeris yang awal dibuka oleh mubaligh Kristian ialah Sekolah Perempuan Methodist (1938), Sekolah St. Thomas (1950) dan Sekolah Rendah Asunta Convent (1956). Asas sekolah Rendah Asunta ini bermula dari kelas tadika yang diajar secara terbuka di sebuah rumah kepunyaan Fr Gullitat yang dibina atas tanah kepunyaan taukey Chan Loon yang terletak di Jalan Gambut Kuantan. Pengendaliannya di bawah kumpulan mubaligh Kristian Franciscan Sister' of Mary. Tarikh penubuhan tadika ini ialah pada 3 Oktober 1955 dengan jumlah murid seramai 23 orang yang diajar oleh dua orang guru yang dibawa khas dari Singapura.” (roshanilawatey, 30 Jun 2010: |"Sejarah Kuantan (5) : Kemudahan Pendidikan"). (Kemungkinan antara sumber asal: Alias Abdullah, Jabatan Perancang MPK dan Fauziah binti Zakaria, |"Pahang Dalam Sejarah, Bil.4, Tahun 1989", m.s.1: Sejarah Pembukaan Kuantan (1850-1970)).

Peta Kuantan 1951

Peta Kuantan 1951
Peta Kuantan 1951. Kawasan konsesi lombong Pahang Consolidated Company ditandakan biru di sebelah utara (Malaya : Surveyor General, 1951 @ Australian National University: |"Malaysia, Malaya, Pahang 1951, Land Use, North-east Sheet, 1951, 1:253 440").

1952-05: Pemimpin Komunis Pahang Tumpas

“Setelah Wan Ali mati dan Wahi Anuar menyerah diri, pihak Parti Komunis Malaya telah menubuhkan satu pasukan campuran pengganas Cina dan Melayu di negeri Pahang diketuai oleh Manap Jepun. Pasukan Manap Jepun telah bertindak di daerah Kuantan, di pantai timur Pahang hingga ke sempadan Pahang dengan Terengganu. Penduduk di sempadan itu memang cukup kenal dengan nama Manap Jepun sebagai ketua pengganas yang gagah berani dan dikatakan juga kebal. Dua tahun lamanya Manap Jepun bermaharajalela melakukan keganasan di negeri Pahang. Pasukan Polis dan Askar Melayu pihak kerajaan tidak dapat menangkapnya. Tetapi akhirnya, dalam bulan Mei 1952 Manap Jepun telah dapat dibunuh oleh sepasukan askar Gurkha dalam hutan kira-kira dua puluh batu dari pekan Kuantan, mayatnya telah dibawa ke rumah sakit pekan Kuantan.” (Haji Buyong bin Adil, 1972: |"Sejarah Pahang" (PDF), m.s. 435).

1953-12-03: Penubuhan Majlis Bandaran Kuantan

“… pada 3 Disember 1953 “Kuantan Sanitary Board” Lembaga Bandaran Kuantan dinaikkan taraf kepada Majlis Bandaran Kuantan.” (roshanilawatey, 29 Jun 2010: |"Sejarah Kuantan (3) : Pemodenan dan Perubahan Dasar Pentadbiran"). (Kemungkinan antara sumber asal: Alias Abdullah, Jabatan Perancang MPK dan Fauziah binti Zakaria, |"Pahang Dalam Sejarah, Bil.4, Tahun 1989", m.s.1: Sejarah Pembukaan Kuantan (1850-1970)).

1955-08-27: Kuantan Sebagai Ibu Negeri Pahang

“Pada 27 Ogos 1955, ibu negeri Pahang yang asalnya di Kuala Lipis sepanjang era residensi British telah dipindahkan ke Kuantan, dan kepentingan bandar ini dari segi pentadbiran semakin meningkat. Setelah Malaya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 (Malaysia terbentuk sebagai satu persekutuan dalam tahun 1963), Kuantan terus berkembang sebagai pusat komersial dan perusahaan yang penting. Kerajaan negeri dan Persekutuan membangunkan Kuantan dengan memberikan tumpuan kepada sektor pentadbiran, industri, pertanian dan pelancongan.” (Wikipedia: Kuantan).

LATAR PERISTIWA: Sejarah Ibu Negeri Pahang

Peta Daerah Kuantan: 1960-an

Peta sekitar Kuantan, 1963Peta Daerah-Daerah Pahang, 1960-an
Kiri: Peta sekitar Kuantan, 1963 (Surveyor General, Federation of Malaya, 1963 @ Australian National University: |"Malaysia, Pahang, Kuantan, Series: L7010, Sheet 83, 1963, 1:63 360").
Kanan: Peta daerah-daerah Pahang, 1960-an: “Pahang: Administrative Divisions” (Dr. R.G. Cant, 1973: |"An Historical Geography of Pahang" (PDF), m.s. 2-3).

Peta sekitar daerah Kuantan, tahun 1966
Peta sekitar daerah Kuantan, tahun 1966 (D. Survey, Ministry of Defence, United Kingdom, 1966 @ Open Research Library, Australian National University: |"Malaysia, Pahang, Kuantan, Series: L5010, Sheet NA 48-1, 1966, 1:250 000").

1961-1962: Suasana di Kuantan

Kuantan

Jalan Mahkota, Kuantan tahun 1950-an
(关丹 Kuantan @ Facebook, 6 Mei 2019: "關丹舊照片").

Chinese funeral, Kuantan, roast pigsChinese funeral, KuantanChinese funeral, Kuantan
Chinese funeral, KuantanChinese funeral, Kuantan
“Chinese funeral, Kuantan”

Tanjung Lumpur

New fishing boat, Kampung Tanjung LumpurReturn of fishing boats, Kampung Tanjung LumpurVillagers, Kampung Tanjung Lumpur
Kiri: “New fishing boat, Kampung Tanjung Lumpur”
Tengah: “Return of fishing boats, Kampung Tanjung Lumpur”
Kanan: “Villagers, Kampung Tanjung Lumpur”

Teluk Cempedak

Chempedak Beach, KuantanChempedak Beach, Kuantan
“Chempedak Beach, Kuantan”

“These photos of Malaya from John Laurie were taken by Neil Cranston Laurie and Olwen Francis Laurie in 1961 and 1962 when Neil was working from Mentakab and Kuala Lumpur as a Colombo Plan surveyor.”

(Sumber: Vintage Every Day, April 27, 2018: |"Everyday Life of Malaya in the Early 1960s Through a Surveyor's Lens").

1967-07-02: Pembukaan Jambatan Sungai Kuantan

“Dengan bertambah baiknya perhubungan jalan raya dan perhubungan kapal dagang dengan Singapura, maka Kuantan menjadi tempat tumpuan pedagang-pedangang. Tambahan pula setelah terbinanya jambatan menyeberangi Sungai Kuantan pada 2 Julai 1967 menggantikan feri yang digunakan sebelumnya, kemajuan bandar Kuantan menjadi bertambah pesat.” (roshanilawatey, 29 Jun 2010: |"Sejarah Kuantan (4) : Sistem Perhubungan & Pengangkutan"). (Kemungkinan antara sumber asal: Alias Abdullah, Jabatan Perancang MPK dan Fauziah binti Zakaria, |"Pahang Dalam Sejarah, Bil.4, Tahun 1989", m.s.1: Sejarah Pembukaan Kuantan (1850-1970)).

1969-12-26: Mat Kilau Muncul Semula

“Pada akhir bulan Disember 1969, seorang tua yang telah beberapa lama memakai nama Muhammad Din bin Ibrahim dan berbagai nama lagi, dan digelar juga Mat Siam, tinggal di Kampung Batu Lima, Jalan Gambang-Kuantan, Pahang, telah dibawa oleh cucunya datang ke Kampung Pulau Tawar, Jerantut, Pahang, dan katanya di situlah kampung asalnya.

Pada hari jumaat, 26 hari bulan Disember 1969, beliau telah dibawa oleh keluarganya ke masjid di Kampung Pulau Tawar itu kerana hendak sembahyang Jumaat. Sejurus sebelum sembahyang Jumaat, di hadapan orang-orang kampung itu yang hendak menunaikan fardu Jumaat, orang tua yang selama itu disebut “Mat Siam” itu telah memberitahu kepada orang ramai dalam masjid itu mengatakan bahawa dialah yang sebenarnya Mat Kilau anak Tok Gajah (Rasu) yang telah berperang menentang campur tangan British dalam pemerintahan di negeri Pahang dari tahun 1891-1895 dahulu dan sekarang beliau telah berumur 122 tahun sambil menunjukkan tanda atau parut di badannya sebagai bukti.

Berita pengumuman “Mat Siam” yang mengakui dirinya Mat Kilau itu telah ditulis oleh Haji Alang Ahmad pemberita suratkhabar Utusan Melayu di Temerloh, dan esoknya pada hari Sabtu, 27 hari bulan Disember 1969, berita itu pun tersiar dalam suratkhabar Utusan Melayu yang terbit di Kuala Lumpur dan telah tersebar luas ke seluruh Malaysia dan Singapura.

Sejak itu suratkhabar berbahasa Melayu di Malaysia telah melaporkan mengenai berita yang luar biasa itu dan telah menarik perhatian orang ramai di seluruh Malaysia dan Singapura terutama orang-orang Melayu. Orang awam, ahli-ahli dan peminat sejarah Tanah Melayu, khasnya sejarah Pahang, serta orang-orang besar Melayu juga, terutama penulis dan pemberita suratkhabar, telah datang menziarahi beliau di Pulau Tawar dan di rumah beliau di Batu Lima Jalan Gambang-Kuantan. Pendapat dan ulasan yang menyetujui atau yang mempercayai pengakuan Mat Siam itu, telah tersiar dalam suratkhabar hampir setiap minggu selama lebih kurang dua bulan. Dalam pada itu ada juga sebilangan kecil orang yang belum dapat mempercayai pengakuan itu, kerana mereka lebih percaya mengatakan Mat Kilau sebenarnya telah meninggal dunia pada tahun 1895-1896 dahulu.

Oleh sebab pengakuan luar biasa itu telah menarik perhatian ramai di seluruh Malaysia dan Singapura terutama kepada orang Melayu yang merasa megah akan perjuangan pahlawan mereka pada masa yang silam, pada 8 hari bulan Januari 1970, kerajaan Pahang telah menubuhkan sebuah jawatankuasa yang ditugaskan menyiasat pengakuan “Mat Siam” yang mengatakan ianya Mat Kilau anak Tok Gajah pahlawan Melayu Pahang yang terbilang itu. Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Datuk Haji Abdul Aziz bin Ahmad, seorang daripada ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang, dan ahli jawatankuasa itu terdiri daripada Encik Zakaria bin Hitam (Setiausaha), Encik Ibrahim bin Arshad, Kapten Muhammad Ali bin Muhammad, Encik Abdul Razak bin Hitam, dan Encik Ash'ari bin Haji Ya'akub.

Ahli Jawatankuasa itu telah menjalankan tugas yang diberikan kepada mereka untuk menyiasat hal itu. Akhirnya pada 8 hari bulan Julai 1970, Jawatankuasa itu telah menyerahkan laporan mengenai penyiasatan itu kepada kerajaan Pahang. Setelah kerajaan Pahang mengkaji laporan Jawatankuasa itu, dan setelah dibawa ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang, dengan persetujuan Sultan Pahang (Sultan Abu Bakar Riayatuddin Shah), pada 6 hari bulan Ogos 1970, Tan Sri Haji Yahya bin Muhammad Seh, Menteri Besar Pahang, bagi pihak kerajaan Pahang, telah mengisytiharkan bahawa orang tua yang tinggal di Kampung Batu Lima, Jalan Gambbang-Kuantan, Pahang, yang selama ini memakai nama Muhammad bin Ibrahim atau Muhammad Din bin Ibrahim atau Mat Siam itu sebenamya beliaulah Mat Kilau anak Tok Gajah, pahlawan Pahang yang terbilang pada akhir kurun masihi yang ke-19 dahulu.

Selain daripada mengandungi keterangan yang mengisahkan bahawa “Mat Siam” itulah Mat Kilau, laporan jawatankuasa itu menerangkan juga beberapa riwayat berhubung dengan perjuangan Mat Kilau dengan rakan seperjuangannya menentang British dahulu, dan laporan itu telah menambahkan lagi keterangan Sejarah Pahang yang telah disebutkan dalam buku ini.

Sepuluh hari selepas diisytiharkan bahawa Mat Siam itu sebenarnya Mat Kilau, pada pagi hari Ahad, 16 hari bulan Ogos 1970, Mat Kilau telah meninggal dunia di rumahnya di Kampung Batu Lima, Jalan Gambang-Kuantan, dalam usia lebih kurang 122 tahun.1 Pada petang hari itu juga jenazah Allahyarham itu telah dikebumikan di perkuburan Kampung Kedondong, dekat kubur ibunya (Teh Mahada), tiada berapa jauh dari kampung asalnya Pulau Tawar, Pahang, dengan upacara penuh kehormatan negeri. Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia di Kuala Lumpur telah menghantarkan ucapan takziah kepada isteri dan kaum keluarga Allahyarham itu. Dalam satu kenyataannya, Tun Abdul Razak telah mengatakan, nama Mat Kilau akan tetap kekal dalam sejarah negara sebagai pahlawan yang menentang penjajahan. Semangat Mat Kilau bukan sahaja menjadi satu tauladan tetapi juga satu unsur ilham rakyat menghadapi masalah masa depan bagi mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara.”

Mat Kilau, 1969
Mat Kilau, 1969.

(Sumber: Haji Buyong bin Adil, 1972: |"Sejarah Pahang" (PDF), 440-443).

1970-an: Suasana di Kuantan

Hotel Tong Fong

Hotel Tong Fong, 1970-anHotel Tong Fong, kini
Kiri: Gambar Hotel Tong Fong. Berdasarkan mutu gambar (hitam putih), kehadiran kereta Datsun 120Y (kiri) dan Datsun 1200 (kanan), juga papan tanda “Jalan Sa-hala” (Ejaan lama), kemungkinan gambar ini diambil sekitar tahun 1970-an (Sumber gambar: Old Forest Village, 11, Jalan Besar, Kuantan, 26 Ogos 2024).
Kanan: Gambar Hotel Tong Fong kini, berdasarkan catatan “No 93” dan “No 95” di dalam gambar tahun 1970-an (mungkin bermaksud No 93 dan No 95 Jalan Mahkota), serta butiran yang diberikan oleh Yaakub Isa: “Satu-satunya restoran yang menjual mee rebus yang sedap di Kuantan ialah Restoran dan Hotel Tong Fong. Hotel tersebut mempunyai bilik yang tidak sampai sepuluh buah dan bilik mandinya dikongsi. Sewanya sekitar $7.00 semalam. Walaupun kecil, tetapi hotel ini bersih di samping mee rebusnya itu tadi yang sedap. Bangunan hotel itu masih wujud hingga sekarang tetapi namanya telah berubah, iaitu bangunan pertama di deretan kedai sebelah kanan Jalan Wall (Jalan Mahkota sekarang) dekat kawasan stesyen teksi di hadapan Balai Polis Kuantan.”

Kisah selanjutnya:-

“Tidak berapa lama kemudian seorang pengusaha Melayu (orang Kampar) Haji Harun dan menantunya Yahya membuka sebuah restoran bernama Sumatera Restoran tidak jauh daripada jeti ke Tanjung Lumpur di Main Road (Jalan Besar sekarang). Keistimewaan restoran Pak Harun ini ialah mee rebusnya (yang berlainan resepi dan rasanya dengan yang di Tong Fong) dan tehbeng yang khas rasanya. Sejak itu orang-orang Melayu kuranglah yang pergi ke Tong Fong. Restoran ini kekal terkenal dengan ikon mee rebusnya itu, hinggalah tahun 1980-an dibukanya pula satu lagi cawangan di Jalan Tun Ismail. Dalam bulan Ramadan menunya ditambah satu lagi iaitu martabak. Tidak berapa lama kemudian bukan sahaja restoran cawangan itu ditutup tetapi restoran asalnya turut lenyap. Khabarnya ini berlaku selepas Pak Harun dan Pak Yahya meninggal, sedangkan anak-anaknya tidak berjaya meneruskan perniagaan yang sangat berkembang itu, di samping ada yang berpindah ke tempat lain.

Saya mengenali anak-anak Pak Harun dan Pak Yahya, tetapi sekarang tidak dapat menemui mereka lagi. Terakhir saya menemui Kalthum, kawan sekelas, yang berkahwin dengan orang Singapura dan menetap di negara pulau itu. Kalthum agak nakal juga kerana dia berani menyergah guru bahasa Inggeris kami (kelas tambahan percuma di sebelah petang di Sekolah Melayu Laki-laki Kuantan yang kami tidak tahu siapa penganjur dan siapa pula yang membayar gaji master-master kami itu) iaitu Mr. KOK SWEE HONG yang tertidur di kerusinya semasa mengajar! Bangunan kedai Pak Yahya yang bernama Bangunan Yahya Ariff di Kawasan Perindustrian Tanah Putih juga telah berpindah milik, sempat dijadikan showroom Syarikat National sebelum digunakan dalam keadaannya sekarang.”

(Sumber: Yaakub Isa, 17 Januari 2008: |"KUANTAN").

1980-an: Suasana di Kuantan

Pantai Sepat

1950-kini.txt · Last modified: 2024/10/08 21:49 by sazli